Sebenarnya sejak
seminggu dua ini aku diserang kesibukan yang entah datang dari mana.
Saban waktu yang ada tidak lansung dapat untuk dimenafaatkan untuk
menyambung tulisan aku berkenaan dengan dunia jin yang sedang aku
usahakan kedalam bentuk artikel. Namun hari ini aku cuba seboleh mungkin
untuk menyiapkan sebahagian bab jin ini.
Pada
tulisan kali ini aku ingin mengetengahkan perkara yang berkaitan dengan
sihir yang berkait rapat dengan jin dan alam ghaib. Mungkin ianya akan
bertentangan dengan sesetengah pendapat. Sebenarnya pangkal penghujahan
aku adalah pengalaman aku sendiri dan mengikut perspektif dan pemahaman
aku. Jadi tidak menjadi soal jika ianya berbeza atau bertentangan dengan
pandangan orang lain. Sebelum itu aku ingin memperincikan sedikit latar
belakang aku sendiri dalam soal ini. Dan aku harap semua yang aku
tuliskan ini akan memberi sedikit menafaat bagi sesiapa saja.
Sejak usia aku
dua belas tahun, aku sangat berminat pada keujudan alam ghaib. Aku
mencari disetiap percakapan orang dewasa akan cerita-cerita mengenai
alam jin, atau bunian. Yang mana diwaktu itu aku tidak mengerti apa-apa.
Yang aku fikirkan adalah dunia jin dan bunian itu adalah dua dunia yang
sangat berbeza. Tapi sebenarnya tiada bezanya, mereka itu bercampur
aduk dalam satu dunia juga. Sedang diantara golongan yang membeza-bezakan jin dan bunian itu tidak lebihlah dari perbezaan manusia suku kaum cina dan suku kaum india.
Aku
juga sangat tertarik, malah obses dengan ilmu-ilmu batin dalam
persilatan melayu. Sesuatu yang tidak terjangkau dengan hujah saintifik.
Bermula dengan cerita-cerita mengenai kekuatan ghaib yang melampaui
akal waras. Dan segala yang berkaitan dengannya. Aku mencar-cari dan
menghimpunkan segala macam hikmat berbentuk sedemikian. Pelangkah,
pendinding, gores laksemana, bisa tangan, pelimun jebat. Dan ayat-ayat
hikmat seperti , kata tiga, ayat satu, ayat lima, ayat tujuh.
Mengabungkannya dengan segala macam rahsia-rahsia kejadian alam dan
manusia. Disamping itu aku juga menyelidiki yang tersirat disebalik
mentera-mentera. Pengenalan mengenai diri dan kejadian yang merujuk
kepada sifat-sifat Pencipta. Keujudan alam ghaib itu bukan saja merujuk
kepada alam makhluk lain. Tetapi merujuk juga kepada nisbah penzahiran
Kudrat Ilahi kepada hambaNya(yang Dia kehendaki).
Kelebihan
manusia ini adalah doanya lebih utama dari makhluk-makhluk lain.
Katanya adalah titah. Yakni ucapan perintah dari pemerintah yang
dilantik Allah sejak dari mula. Dan walau seluruh alam ini menafikan
kekhalifahan manusia ini, ianya tidaklah mengubah walau sedikit
kenyataan yang menusia ini telah Allah jadikan dengan sebaik-baik
kejadian. Dan telah Allah lantik menjadi khalifah di atas muka bumi ini.
Dan permintaan manusia itu lebih utama dari yang lain. Jadi
perhalusilah setiap permohonan kepada Allah itu, supaya tidak ada
diantaranya yang akan berlaku tidak adil kepada orang lain. Kerana
mendoakan kecelakaan saudara yang lain itu adalah haram bagi umat islam
ini. Dan berikhtiar kearah memudharatkan kesejahteraan saudaranya itu
juga adalah ditegah juga.
Didalam
pencarian aku yang bertahun-tahun itu aku menjumpai, kesemuanya ini
berkait rapat dengan keujudan alam jin tersebut. Yang jin itu bisa
menjadi khadam(suruhan) atau sahabat(kawan). Yang mana bila saja
seseorang manusia itu hebat dari segi ilmu dan keyakinannya kepada
Allah. Maka ini menyebabkan golongan jin yang rendah kedudukannya
dikalangan jin-jin yang lain rela untuk berkhidmat kepadanya, demi
menumpang berkat orang yang utama pada pendapat mereka. Boleh saja
digajikan mengikut persetujuan kedua belah pihak(Manusia dan jin). Mana
kala golongan yang sedikit berkedudukan dikalangan jin tersebut memilih
untuk kedudukan yang lebih tinggi dari khadam tersebut. Mereka melihat
kepandaian dan ilmu mereka tidak jauh kurang dari manusia tersebut, jadi
mereka memilih untuk menjadi sahabat kepada manusia itu.
Sebenarnya
dalam masalah menjadikan jin itu sebagai khadam(suruhan) ianya tidak
lebihlah seperti seorang kontraktor mengajikan segerombolan pekerja dari
indon untuk melakukan pekerjaan bagi pihaknya. Tidak menjadi salah
apa-apa selagi ianya tidak membabitkan bai’at(perjanjian) yang
pelik-pelik atau ritual-ritual yang membawa kepada syirik. Ianya sama
juga dalam perumpamaan itu. Mengajikan pekerja indon untuk membuat
bangunan atau sebagainya tidak menjadi salah, yang menjadi salah apabila
tuannya memerintahkan pekerjanya mencuri dan sebagainya. Bergitu juga
dalam soal khadam jin ini tadi. Jenis pekerjaan yang disuruh itulah yang
menjadikan perbuat itu salah dan berdosa. Sedang menjadikan jin itu
suruhan atau khadam itu tidak menjadi satu perbuatan yang berdosa,
tetapi apabila memerintahkan mereka untuk tujuan sihir dan kerosakan
itulah yang merubah sesuatu perbuatan yang harus itu menjadi haram.
Namun kesilapan orang yang terdahulu tidak melihat jin ini satu makhluk
yang boleh dipupuk kefahamannya atau dalam erti kata lain didakwahkan
kebaikan, telah membentuk tembok yang sangat tinggi
diantara manusia dan makhluk tersebut. Jadilah manusia ini sebilangan
besarnya sangat hairan dan ada juga yang ngeri dengan kehadiran
makhluk-makhluk jin ini. Sedangkan mereka itu tidak lebih dari makhluk
Allah semata-mata. Yang mana mereka itu juga akan dipertanggung jawabkan
pada setiap amalan mereka.
Kenapakah
golongan jin ini mahu menjadi sahabat kepada golongan manusia?
Sebenarnya ini adalah lahir dari pemikiran golongan jin-jin yang lebih
bijak dan terpelajar. Mereka tahu kedudukan manusia itu
lebih utama dari kedudukan mereka disisi Allah. Dan doa-doa serta amalan
manusia ini lebih tinggi nilainya dari mereka golongan jin. Dan tidak
diturunkan Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Dan mereka itu hanya mengerti
yang tersurat sahaja didalam Al-Quran itu, sedangkan yang tersiratnya
mereka terpaksa datang kepada golongan manusia yang mana Allah memberi
mereka kefahaman secara laduni.
Dan
dalam soal ini, sama saja dalam memilih dari kalangan manusia itu
sendiri untuk dijadikan sahabat. Carilah sahabat yang membawa kita
kepada kebaikan dan menjadikan kita lebih hampir kepada Allah. Bukannya
sahabat yang mendorong kita menjadi kufur atau sahabat yang menganjurkan
pekerjaan syirik kepada Allah. Berhujah sesetengah golongan yang
menyatakan bersahabat dengan golongan jin islam itu boleh, sedang dengan
jin kafir itu tidak boleh. Jadi suka aku menimbulkan persoalannya
bergini. Bagaimana pula kedudukan si Ali yang berkawan baik dengan Si
Mutu Samy? Yang si Mutu Samy ini beragama hindu, dalam waktu yang sama
dia tidak pernah sama sekali mengajak Ali melakukan sesuatu yang
berkaitan dengan agamanya. Persahabatan mereka tidak lebih dari sekadar
berbuat baik sesama makhluk dan tolong-menolong adanya seperti aur
dengan tebing yang saling bergantungan. Apakah itu menjadikan ‘harus’
itu kepada haram? Jadi dalam soal ini, kefahaman aku adalah bergini.
Adanya jin kafir itu sendiri terbahagi kepada dua golongan. Satu
golongan adalah kafir agamanya. Yang mana mereka itu beragama kristian,
hindu, yahudi, budda dan sebagainya. Sedang satu golongan lagi adalah
mereka yang kafir kerana menganut fahaman iblis. Mereka tahu yang Allah
itu tuhan yang satu, tetapi mereka menolak kekhalifahan manusia. Dan
mereka berdendam dengan golongan manusia itu seperti mana iblis itu
berdendam dengan golongan manusia. Suku-kaum mereka ini adalah anak cucu
iblis itu sendiri, yang lahir dan dibesarkan dengan idiologi dan
fahaman iblis itu. Dan mereka dilengkapi dengan segala pengetahuan
mengenai manusia dan alam ini(mana bahagian yang diizinkan oleh Allah
sahaja). Jadi inilah golongannya yang tidak boleh sama sekali dibuat
sahabat.
Sebenarnya
dari mula penulisan ini tadi aku ingin lebih memperincikan dalam bab
sihir. Tetapi ianya menjadi sedikit meleret-leret kearah lain, lantaran
kerana terpaksa menyentuh sedikit bahagian-bahagian tertentu dari bab
jin ini. Supaya mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan jin
itu. Dalam hal kita tidak boleh membesar-besarkan jin, atau memuji
kebaikannya. Ianya lebih merujuk kepada iblis dan anak cucunya yang
berketurunan jin itu. Lebih kepada untuk menjaga akidah umat Islam yang
tidak arif dalam memahami dengan sempurna dari hal yang bersangkutan
dengan jin itu.
Bersahabat dengan jin:
Sebenarnya
lama dahulu golongan jin ini sangat memandang rendah pada persahabatan
dengan manusia ini. Bagi mereka jika manusia itu mahu bersahabat dengan
mereka pastilah ada sesuatu yang diharapkan oleh manusia ini. Kerana
dalam banyak hal kebolehan manusia dan kemampuan mereka sangat terbatas.
Manusia tidak mampu mengalihkan pohon-pohon balak yang besar-besar
untuk kegunaan mereka. Mereka tidak mampu untuk kesesuatu tempat dalam
tempoh waktu yang singkat. Manusia juga tidak mempunyai sistem
komunikasi seperti hari ini. Tiada jalan raya, tiada kapal terbang. Dan
dalam masalah kehidupan ketika itu, peranan jin sangat diperlukan. Jadi
nilai pada persahabat diantara jin dan manusia itu terlihat lebih
bernilai kepada pihak manusia itu. Dan manusialah yang mahu bersahabat
dengan mereka, sedang kebanyakan dari golongan jin ini sangat jual mahal
dan belagak. Tetapi dalam sekelip mata zaman telah berubah. Manusia
dengan teknologinya sudah mampu melakukan hampir kesemua pekerjaan tanpa
perlu kepada penglibatan golongan jin. Malah lebih menakutkan golongan
jin ialah. Teknologi manusia ini sudah sampai kesuatu tahap boleh
mengancam makhluk jin itu sendiri. Seperti atom, nuclear dan sebagainya.
Sampailah
kita kepada satu zaman yang mana fungsi jin dalam kehidupan manusia
hanyalah yang berbentuk rohani sahaja. Sedang yang berbentuk jasmani itu
tidak lagi manusia ini bergantung dengan kebolehan jin. Kerana manusia
hampir boleh melakukan semua kerja atau keperluan hidup mereka dengan
bantuan sains dan teknologi mereka. Dan kedudukan jin disisi manusia
sangatlah tergugat. Lantaran itu mereka(jin) yang cetek ilmunya(agama)
dan singkat pertimbangan(akal) sangat mudah juga terpengaruh dengan
janji-janji tukang-tukang sihir ini. Yang hati-hati mereka(orang yang
mengamalkan ilmu kebatinan sesat dengan mentera-mentera dan
ritual-ritual yang kurafat) itu telah hitam dan menjadi
tempat bertahtanya iblis dan mereka ini juga sentiasa ditambah-tambah
angan-angan indah dari kehendak nafsu shawat oleh syaitan yang direjam.
Dari
mereka inilah turunnya perintah-perintah kepada jin(khadam) akan
suruhan yang merosakkan. Dan ada juga golongan ini , mereka ini
termasuklah dari golongan yang tersebut dibawah ini.
IHAANAH
Kejadian
luar biasa yang diberikan kepada seorang pembohong yang mengaku sebagai
nabi, seperti yang pernah diberikan kepada Musailamah Al Kadzab. Ia
pernah meludah di sebuah sumur dengan harapannya agar
airnya bertambah banyak, tetapi pada kenyataannya airnya mengering, dan
ia pernah meludah pada mata seorang yang juling, agar matanya sembuh,
tetapi pada kenyataannya mata orang itu menjadi buta.
ISTIDRAJ
Kejadian
luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil
Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan
kebohongannya. Menurut Ijma’, biasanya seorang yang mengaku sebagai
nabi, maka ia tidak akan diberi kejadian luar biasa.
SIHIR
Suatu
cara yang dapat menampilkan berbagai perbuatan yang aneh bagi yang
tidak mengerti seluk beluknya, tetapi seluk beluknya itu dapat
dipelajari. Dan semua ini didalangi oleh iblis dan syaitan. Dengan
ritual-ritual yang diada-adakan mengikut bisikan atau kehendak nafsu
yang sesat. Dan perantaannya akan keajaiban perbuatan tersebut adalah
jin.
SYA’WAZAH
Kejadian
luar biasa yang biasa timbul di tangan seseorang, sehingga menimbulkan
pesona bagi yang melihatnya meskipun kejadian itu tidak terjadi.
PERBEZAAN ANTARA KARAMAH DAN ISTIDRAJ
Seseorang
yang menginginkan sesuatu, kemudian Allah memberinya, maka pemberian
itu tidak menunjukkan bahawa orang itu mempunyai kedudukan mulia di sisi
Allah, baik pemberian itu bersifat biasa ataupun tidak. Kemungkinan
pemberian itu merupakan anugerah dari Allah, tetapi kemungkinan pula
merupakan istidraj, iaitu pemberian sebagai ujian.
Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:
1.
Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin
bertambah ingkar dan sesat dan pada akhirnya ia akan dimatikan dalam
keadaan kafir. Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah:
“Nanti Kami akan menarik mereka dengan berangsur-angsur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”.27
27 Surah Al-Qalam :44
Allah berfirman:
“Dan
mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya
yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan”29
28 Surah Al-‘Araf: 99
29 Surah Ali ‘Imran: 54
2. Al Kaid artinya tipu daya:
Dalam firman Allah disebutkan:
“Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka”30
Allah
berfirman: “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal
mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak
merasakannya”.31
30 Surah An-Nisaa’:142
31 Surah Al-Baqarah: 9
3. Imla’ mempunyai arti memberi tangguh:
Firman
Allah: “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian
tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu
terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya”32
32 Surah Ali ‘Imran: 178
4. Al Ihlak mempunyai arti kebinasaan:
Allah
berfirman: “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan
kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak”33.
Allah berfirman: “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di
permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa
mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala
tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut”34
33 Surah Al-‘Anam: 44
34 Surah Al-Qisas: 33
Dari
ayat-ayat di atas, dapat kita simpulkan bahwa antara karamah dan
istidraj ada perbezaan. Seorang yang diberi karamah tidak pernah merasa
senang atas pemberian itu, bahkan ia makin bertambah takut kepada Allah,
sebab ia takut kalau pemberian karamah itu merupakan ujian atau
merupakan istidraj. Lain halnya dengan seorang yang diberi istidraj. Ia
makin maharajalela, kerana ia mendapat anugerah dan ia pun tidak takut
disiksa. Adapun kalau seseorang bergembira ketika ia diberi karamah,
maka ia termasuk orang yang melanggar.
Namun
kita akan menyentuh secara terperinci mengenai bab karamah ini dalam
bab yang lain. Hanya sedikit yang ditampilkan disini demi untuk melihat
kenapakah terjadinya kelebihan-kelebihan ghaibiah ini terhadap golongan
yang mengamalkan amalan-amalan sihir ini. Sehingga mereka itu diyakini
dan terjadinya pebuatan taksub kepada mereka, oleh orang lain atau
golongan jin atau juga mereka sendiri merasa hairan dengan diri
sendiri(riak). Disinilah permulaannya bagi perbuatan sihir itu
berterusan dan terlihat ianya berguna kepada sesetengah golongan yang
memilih jalan singkat dalam mendapatkan sesuatu hajat. (ianya
terlebihlah kehendak kepada dengki dan khianat sesama makhluk)
Dalam
perbuatan sihir-menyihir ini, ianya terjadi dalam dua bentuk. Ganguan
yang bersifat rohani semata-mata, atau pun ganguan rohani dan jasmani.
Ganguan rohani:
Seperti
dalam keadaan ini, jin itu diperintahkan untuk meresap kedalam jasad
seseorang. Dan mengucar-kacirkan keseimbangan rohaninya yang mana ini
akan menyebabkan rohaninya tidak lagi berfungsi dengan baik. Dan
seterusnya ianya akan menyebabkan kemudharatan kepada jasmani , yaitu
jasad atau badan mangsa. Dalam hal ini sebenarnya jin tidak boleh
menyakitkan manusia dari luar. Seperti contohnya mencekik atau memukul
manusia. Kerana itulah dia(jin) perlu merasuk atau meresap kedalam
jasad. Kerana apa aku katakan demikian? Bukankah tugas yang diberikan
kepada khadam(jin) tersebut adalah untuk memusnahkan orang yang disihir
itu tadi? Jadi bukankah mudah baginya mencekiknya sahaja, atau
menggigitnya sahaja. Sedangkan mangsa itu tidak nampak kepadanya. Dan
dia(jin itu) sudah sangat mahir dalam pekerjaannya. Yang mana dia
mungkin telah bertugas sebagai khadam bagi tukang-tukang sihir ini sejak
dari turun temurun lagi. Namun masalahnya disini ialah, kemampuan itu
tidak dimiliki oleh mereka, yaitu memudaratkan manusia secara
terus(secara jasmani).
Dalam
keadaan ini, dirasuk atau diresap oleh jin. Mangsa melaluinya dalam
peringkat-peringkat tertentu. Boleh saja ianya berbentuk ganguan emosi,
sedikit demi sedikit sehingga membuatkan kehidupan seseorang itu tidak lagi terurus. Atau lebih melarat ianya
meracau-racau dalam tidur. Dan membawa kepada murung apabila ia
terjaga. Kehilangan semangat dan sebagainya*. Aku tidak sepatutnya
menyebut perkataan itu(*sebagainya) kerana keterangan mengenainya boleh
dijelaskan dengan lebih terperinci.
Bergini.
Apabila terjadi perkara yang sedemikian, kerasukan yang halus atau
berat. Jin tersebut akan duduk dan tinggal didalam badan mangsa itu. Dan
kurus tubuh jasadnya bukanlah kerana ia tiada lagi selera pada makanan.
Tetapi dinyatakan sifat jin itu memakan zat-zat makanan yang manusia
itu makan(jika tidak mendahulkan nama Allah dalam setiap perbuatan).
Lantas disini secara ilmiahnya tubuh jasad si mangsa hanyalah memakan
makanan yang kosong tiada berzat atau khasiat. Dan lama kelamaan jasad
mangsa akan menjadi sangat lemah. Tetapi disini, dalam keadaan ini,
sebenarnya rohanilah yang dirosakkan oleh jin tersebut terlebih dahulu.
Tetapi ini tidak bisa terjadi kepada mereka-mereka yang telah mencapai
peringkat-peringkat roh yang tertentu. Boleh rujuk kepada artikel aku
yang terdahulu, maqam-maqam roh.
Ganguan rohani dan jasmani:
Perkara
ini terjadi bergini. Seseorang tukang sihir itu mengerti sesuatu. Yaitu
jin tidak boleh memudaratkan manusia secara terus. Jadi jin itu
dihantar untuk meresap kedalam tubuh mangsa dan disisinya dibekalkan
racun-racun tertentu yang berbahaya kepada jasmani. Seperti contohnya
dahulu kala digunakan serbuk kaca atau miang buluh. Atau juga
jarum-jarum yang sangat halus bagi menyakitkan tubuh badan seseorang
yang disihirkan itu.
Seperti
jin itu tadi, tugasnya adalah untuk merusakkan kesihatan rohani si
mangsa. Dan racun-racun atau barangan yang berbisa yang bersifat jasmani
atau nyata itu pula untuk menyakitkan tubuh badan mangsa. Inilah
kejadian muntahkan darah dan berbagai-bagai lagi itu. Jin atau khadam
itu tadi hanyalah membawanya dan menanamkannya(bahan-bahan tersebut)
kedalam bahagian tertentu tubuh jasad si mangsa.
Dan
kaedah dan cara yang kedua inilah yang selalunya disalah ertikan oleh
pengamal-pengamal perubatan tradisional. Yang mana mereka meletakkan
sihir itu, yaitu ganguan rohani dan ganguan secara rohani dan jasmani
itu boleh diubati dengan cara yang sama. Sebenarnya ia hanyalah boleh
mengusir jin si tukang sihir itu. Dan juga boleh memaksa jin itu
membawa(mengeluarkan) semula barang-barang beracun itu dari tubuh si
mangsa. Dan ikhtiar pemulihan keatas rohani yang rosak itu juga boleh
diikhtiarkan dengan cara rohani. Dengan amalan dan bacaan ayat-ayat
Al-Quran(tertentu) atau zikir-zikir tertentu hitungannya. Atau juga
dengan amalan-amalan ritual tertentu . Namun sebagai umat islam perlulah
kita ingat dan mengerti dalam memilih amalan tersebut, supaya kita tidak mengamalkan sesuatu amalan kurafat yang menjurus kepada syirik kepada Allah.
Tetapi
jasmani yang telah cedera itu(tiada kita nampak lukanya, kerana ianya
dari dalam) perlulah kita ubati melalui cara jasmani juga. Perlu diberi
ubat-ubatan, modern atau tradisional ianya tidak menjadi soal asalkan
ianya bersesuaian dengan keperluan tubuh badan yang sakit itu. Perlu di
bagi vitamin-vitamin, antibiotic dan sebagainya. Inilah yang selalunya
terlepas pandang dan tidak dimengerti secara dalam oleh
pengamal-pengamal perubatan tradisonal.
Sebenarnya
artikel ini hanyalah berbentuk pengenalan dan keterangan dalam kejadian
dan permasalahan yang berkaitan dengan sihir yang membabitkan jin ini.
Semoga Allah mengurniakan aku kelapangan di masa akan datang untuk
menyambungnya dalam bab yang lebih terperinci. Dari hal rawatan dan
langkah-langkap yang perlu dilakukan oleh orang-orang yang mengalami
masalah ini. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan